Beliau ialah Al-‘Allamah al Muhaddits al Sufi al Muhaqqiq al Mudaqqiq al Imam Maulana Sayyid Abdul Aziz bin Muhammad bin Siddiq bin Ahmad bin Muhammad bin al-Qasim bin Muhammad bin Muhammad bin Abdul Mukmin bin Ali bin al Hasan bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin Abdullah bin Isa bin Sa’id bin Mas’ud bin al Fudhoil bin Ali bin Umar bin al ‘Arabi bin ‘Allal (Ali menurut bahasa Maghribi) bin Musa bin Ahmad bin Daud bin Maulana Idris al Asghor bin Maulana Idris al Akbar bin Abdullah al Kamil bin al Hasan al Muthanna bin Imam al Hasan al Mujtaba bin Amirul Mukminin Sayyiduna Ali dan Sayyidah Fatimah al Zahra’ binti Sayyiduna Muhammad Rasulullah s.a.w.
Beliau dilahirkan pada bulan Jumadil Awal 1338 (1920) di Tonjah (Tangiers), Maroko. Ayahandanya ialah Sayyid Muhammad al Siddiq, merupakan salah seorang ulama dan wali Allah yang masyhur. Ibundanya ialah Syarifah Fatimah al Zahra merupakan cucu dari Sayyid Ahmad ‘Ajibah al Hasani pengarang syarah kitab hikam yang masyhur iaitu Iqaz al Himam fi Syarh al Hikam dan kitab al Bahr al Madid fi Ulum al Quran al Majid.
Keberkahan Ayahanda juga tampak dari tujuh anak lelakinya, semuanya menjadi ulama Islam yang alim lagi disegani yaitu Sayyid Ahmad, Sayyid Abdullah, Sayyid Muhammad al Zamzami, Sayyid Abdul Aziz, Sayyid Abdul Hayy, Sayyid Ibrahim dan Sayyid al Hasan. Menurut sejarah Islam, belum ada lagi dalam sebuah keluarga yang mampu melahirkan ulama besar Islam sebanyak ini, yang menguasai keilmuan yang mumpuni.
Beliau memulai pendidikan sejak usia lima tahun dengan menghafal al Quran melalui bimbingan Syeikh Muhammad Bu Durrah, murid ayahandanya. Sejak kecil beliau telah menghafal al-Quran dan mendapat perhatian dan pendidikan yang sempurna daripada ayahnya. Setelah itu, barulah beliau mulai fokus kepada ilmu-ilmu yang lain melalui pembelajaran, pembacaan dan kajian.
Ayahandanya memberikan sepenuh perhatian kepada beliau sepanjang waktu pendidikan dengan nasihat-nasihat yang berguna dan petunjuk-petunjuk yang berfaedah. Ini disebabkan ayahandanya dapat merasakan bakat-bakat terpendam yang ada pada diri beliau. Pada tahun 1355 (1937) ketika berusia 17 tahun setelah kewafatan ayahnya, beliau hijrah merantau ke Mesir bersama saudaranya Sayyid Abdul Hayy al Ghumari ditemani oleh abang sulung mereka, Sayyid Ahmad untuk melanjutkan pendidikan di Al-Azhar As-Syarif.
Di Azhar, beliau menuntut ilmu kepada para ulama’ yang berwibawa dalam berbagai keilmuan. Dalam tempo ini juga, beliau mulai bergumul dengan ilmu Hadits di samping melakukan latihan-latihan dan kajian-kajian sekitar ilmu ini.
Guru-guru beliau diantaranya:
- Ayahandanya Sayyid Muhammad Siddiq al Ghumari.
- Abang-abangnya al Hafiz Sayyid Ahmad al Ghumari dan al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari.
- Al ‘Allamah Syeikh Muhammad Bu Durrah, murid ayahandanya.
- Al ‘Allamah Syeikh Abdul Mu’ti al Syarsyimi.
- Al ‘Allamah Syeikh Mahmud Imam.
- Al ‘Allamah Syeikh Abdul Salam Ghanim al Dimyati al Syafie.
- Al ‘Allamah Syeikh Muhammad ‘Izzat dan lain-lain lagi.
Menguasai Banyak Ilmu Hadits
Sejak kapan beliau kaya dengan ilmu Hadits? Sayyid Abdul Aziz menceritakan pengalamannya bahwa beliau mulai terlibat secara serius dalam ilmu Hadits setelah menyelesaikan pembelajaran dalam bidang Mustolah Hadits. Untuk merealisasikan apa yang telah beliau pelajari, beliau mulai melakukan kajian terhadap kitab al Laali’ al Masnu’ah karangan al Hafiz Jalaluddin al Suyuti.
Melalui kajian beliau terhadap kitab ini, Sayyid Abdul Aziz sukses menghasilkan karya yang berjudul al Jawahir al Ghawali. Beliau menyebut bahwa kajiannya terhadap kitab ini, beliau mempelajari metodologi kritikan terhadap para perawi hadits, rantaian sanad dan kaedah membedakan hadits yang sohih dengan yang dho’if.
Setelah itu, beliau membandingkan kajiannya terhadap kitab-kitab hadits yang beliau baca dan kaji dari karya abangnya al Hafiz Sayyid Ahmad al Ghumari. Setelah selesai mengkaji karya-karya abangnya, beliau kemudian mengkaji kitab-kitab hadits lain yang dikarang oleh al Huffaz yang berkaliber internasional seperti al Hafiz al ‘Iraqi, al Hafiz al Zailai’e, al Hafiz Ibnu Hajar al ‘Asqolani, al Hafiz al Suyuti dan lain-lain.
Sepanjang kajian beliau terhadap ilmu Hadits, beliau seringkali berhubung dengan abangnya al Hafiz Sayyid Ahmad al Ghumari untuk meminta nasihat dan petunjuk. Puncaknya beliau menyebut bahwa setelah beliau merasa telah mahir dalam bidang ini dan mampu menguasainya dengan baik, maka beliau mulai mengarang sebuah kitab yang berjudul Bulugh al Amani min Maudhu’at al Sun’ani.
Setelah selesai mengarang karya ini, beliau mempresentasikannya kepada abangnya al Hafiz Sayyid Ahmad al Ghumari, lalu abangnya memberi komentar: Sepatutnya karya ini diberi judul Hazij al Aghani kerana mengandung faedah yang bisa membuat pembacanya menari-nari kerana riang dan kagum!
Kelebihannya berdamping dengan kedua orang abangnya Sayyid Ahmad dan Sayyid Abdullah memberikan banyak kelebihan dan faedah kepadanya sehingga beliau tampil masyhur di dunia Islam sebagai seorang ahli hadis yang terkemuka pada zamannya.
Beliau juga turut mendapat ijazah ilmiah dari para ulama zamannya seperti Syeikh Umar Hamdan al Mahrisi, Syeikh Abdullah Muhamad al Ghazi al Hindi al Makki, al Musnid al Muarrikh Muhammad Raghib al Tabbakh al Halabi, al Musnid Sayyid Ahmad Rafi’ al Tahtawi, al Imam al Akbar Muhammad al Khadir Husain al Tunisi, al ‘Allamah Muhammad Zahid al Kauthari, al ‘Allamah Muhammad Abdul Baqi al Ansari, al Musnid Sayyid Abdul Hayy al Kattani dan ramai lagi.
Apabila beliau pergi ke Mekah, para ulama di sana akan menyambut dan mengalu-alukan kedatangannya sebagai ahli hadis yang dikagumi. Mereka juga menggelar majlis periwayatan hadis Nabi untuk beliau menyampaikan ilmunya dan majlis tersebut mendapat sambutan yang luar biasa dan dihadiri oleh para penuntut ilmu dan umat Islam yang berkunjung ke Tanah Suci Mekah.
Dalam satu majlisnya di Mekah pada Hari Arafah, beliau juga telah mengijazahkan kepada para ulama dari Tanah Melayu Nusantara yang terdiri daripada tuan guru dan kiai dengan ijazah umum. Jumlah mereka yang diijazahkan itu mencapai ratusan orang dimana kebanyakan mereka adalah murid kepada Musnid al Dunya al ‘Allamah Syeikh Muhammad Yasin al Fadani dari Indonesia, Malaysia dan Pattani.
Maha Karya
Semuanya berjumlah 73 buah. Kebanyakannya dalam bidang hadits. Diantaranya:
- Tashil al Mudarraj ila al Mudarraj.
- Al Ta’nis bi Syarh Manzumah al Zahabi fi Ahli al Tadlis.
- Al Bughyah fi Tartib Ahadits al Hilyah.
- Ithaf Zawi al Himam al ‘Aaliyah bi Syarh al ‘Asymawiyyah.
- Al Qaul al Ma’thur bi Jawaz Imamah al Mar’ah bi Rubat al Khudur.
- Mafatih al Dahyan li Tartib Tarikh Asbahan.
- Al Tahzir Mimma Zakarahu al Nablusi fi al Ta’bir.
- Al Tuhfah al ‘Aziziyyah fi al Hadits al Musalsal bi al Awwaliyyah dan lain-lain lagi.
Sejumlah daripada karya-karya beliau telah ditulis ulang oleh muridnya al Muhaddith Dr. Mahmud Sa’id Mamduh di bawah tajuk Fath al Aziz fi Asanid al Sayyid Abd al Aziz. Beliau juga turut menulis biografinya sendiri bertajuk Ta’rif al Mu’tasi bi Ahwal Nafsi. Sifat penyayang dan simpati Sayyid Abdul Aziz al-Siddiq al-Ghumari sebagaimana yang beliau kisahkan sendiri dalam kitab ini:
“Allah menjadikan dalam hatiku sifat penyayang dan simpati kepada setiap sesuatu yang mempunyai ruh. Aku tidak mampu untuk melihat haiwan disiksa.
Aku juga tidak sampai hati untuk memukul hewan ketika menunggangnya dan aku tidak akan membiarkan sesiapa pun yang akan memukulnya, bahkan aku membiarkannya berjalan bebas.
Aku tidak mampu melihat hewan disembelih apatah lagi aku sendiri hendak menyembelihnya.
Aku mempunyai seekor kucing di rumah. Aku sangat berbuat baik terhadapnya sehingga aku mengutamakan untuknya daging melebihi diriku sendiri jika ia datang ketika aku sedang makan. Sehingga anggota keluargaku cemberut akan perbuatanku itu.”
Kepulangan ke Tonjah dan Wafat
Setelah 12 tahun menetap di Mesir, akhirnya pada bulan Rabiul Awwal 1366 (1949) beliau pulang ke Tonjah untuk menyebarkan ilmu. Di Tonjah, beliau aktif mengajar di Zawiyah Siddiqiyyah, selain menulis dan mengadakan majlis zikir. Beliau juga dilantik menjadi khatib di madrasah tersebut.
Beliau amat kuat menekankan tentang perlunya amal ibadah diamalkan dengan kesungguhan dan ilmu. Beliau pernah mewasiatkan kepada salah seorang murid terdekatnya agar mengkhususkan satu hari dalam seminggu untuk beramal ibadah dalam artian memenuhkannya dengan amalan sunat seperti salat, puasa, bacaan al-Quran, wirid dan shalawat kepada Nabi SAW.
Setelah menghabiskan sebahagian besar usianya dalam ilmu dan dakwah, Sayyid Abdul Aziz dijemput menemui Ilahi pada hari Jumaat 6 Rajab 1417 Hijrah / 17 November 1996 Masehi. Beliau dimakamkan di sisi makam ahli keluarganya di Zawiyah Siddiqiah, Tonjah Maroko.
Beliau adalah seorang pakar hadits yang mendalami bidang tasawuf dan menyelam ke dasar lautannya. Pada dirinya terhimpun akhlak mulia ahli sufi yang menjadi kebanggaan Islam. Beliau adalah seorang ulama dan ahli hadits yang mengasihi Rasulullah SAW dan ahli keluarga Nabi SAW. Sering beliau terlihat mengalirkan air mata apabila dikisahkan perihal keperibadian, kebaikan, kemuliaan dan sirah kehidupan Baginda SAW dan ahli keluarganya.
Beliau juga adalah seorang yang tegas dalam menyatakan kebenaran dan tidak pernah merasa takut dan gentar dalam menegakkan kalimah yang hak. Berbagai ujian dan dugaan menimpa dirinya disebabkan kesungguhannya yang amat sangat dalam mempertahankan marwah agama dan umat Islam. Semoga Allah merahmati beliau dan membalas jasa-jasa beliau dengan sebaik-baik pembalasan. Amin.
This is a non-benefit site to share the information. To keep up this site, we need your assistance.
A little gift will help us alot.alert-info
Post a Comment